Sebelum PRU-14, mereka ini berkobar-kobar mahu menukar kerajaan ketika itu. Mereka yang paling aktif berkempen dalam laman sosial. Ini kalilah, laung mereka.

Kebanyakannya berniat me­nyingkirkan pemimpin tertentu yang bermasalah dalam Barisan Nasional (BN). Mohamad atau Tok Mat yang pada masa itu Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau bukan sasaran mereka.

Malangnya, Tok Mat yang dikagumi dan menjadi kebanggaan golongan muda dan sebahagian besar rakyat negeri ini turut tersingkir gara-gara silap pertimbangan pengundi.

Nasi sudah menjadi bubur. Menteri Besar yang mentadbir negeri ini dengan cemerlang dan membawa banyak perubahan sudah menjadi pembangkang. Gagasan idea beliau yang mahu memo­denkan negeri ini berkubur kerana tidak lagi diteruskan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada 13 April ini, pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau termasuk lebih 8,000 pengundi muda sekali lagi diberi peluang menentukan nasib dan perjalanan politik Tok Mat.

Kekalkan Tok Mat bermakna negeri ini bakal mempunyai seorang pemimpin pembangkang berkaliber dan berkesan untuk menegur sebarang kesilapan kerajaan negeri. Beliau juga kini lambang penyatuan parti-parti pembangkang.

Pengundi muda usah ulang kesilapan buat kali kedua. Buat keputusan dengan bijaksana dan bakal menguntungkan rakyat dan negeri.

Mereka patut mengambil panduan daripada pantun Melayu yang kerap diungkapkan Tok Mat mengenai kaedah mencari pemimpin;

Kalau mencari tempat mandi,

Pertama teluk, kedua pantai,

Kalau mencari pemimpin sejati,

Pertama elok, kedua pandai.