Ketuanya, Latteffah Aliyaru Kunju berkata, tuntutan yang dibuat tidak berasas kerana tiada rakyat di negara ini yang dinafikan hak untuk menjalani kehidupan termasuk mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan dan sebagainya.

Ujarnya, beliau bimbang jika tuntutan golongan LGBT dilayan, banyak lagi permintaan akan dibuat pada masa depan terutama yang bertentangan dengan tatasusila masyarakat dan agama.

“Selama ini golongan LGBT boleh bekerja dan belajar di mana saja. Hak mereka tidak pernah dinafikan selagi mereka berstatus warganegara Malaysia. Ada sebab mereka tidak diterima, tetapi sebagai minoriti mereka yang mesti menyesuaikan diri dengan kehendak alam bukan sebaliknya.

“Tiada siapa dapat menafikan kejadian seseorang namun ia bukan alasan untuk menuntut perkara dilarang agama. Jika perkara ini tidak dibendung dari awal mungkin selepas ini mereka akan meminta kerajaan membenarkan pembedahan jantina pula,” katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri kira-kira 30 ahli pergerakan itu di sini hari ini.

Menurut Latteffah, pihaknya juga kecewa kerana kerajaan memberi ruang dan peluang kepada golongan itu menyuarakan pandangan antaranya dalam isu melibatkan penggunaan tandas wanita.

“Kami tidak setuju sama sekali dengan permintaan tidak berasas ini. Tandas wanita hak wanita, kenapa pula mereka mahu gunakan sedangkan mereka bukan wanita. Ini tidak adil kepada wanita terutama yang beragama Islam. Kerajaan kena ambil kira perkara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE