Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tempoh mengundi di sebahagian besar Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Jelai terlalu singkat dan ada yang ditamatkan seawal pukul 1 petang.

Menurutnya, hanya empat PDM iaitu di DUN Tanah Rata yang dimenangi DAP iaitu di Bertam Valley, Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang ditamatkan pada pukul 5 petang.

“Manakala 25 PDM lagi pengundian ditamatkan pada sebelum pukul lima petang malah ada PDM yang tempoh mengundinya berakhir pada pukul 1 petang atau pukul 2 petang seperti di PDM Kuala Medang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu mungkin menyebabkan para pengundi terutamanya di kawasan yang terpencil atau yang tinggal jauh dari PDM tidak sempat untuk mengundi.

Beliau berkata, apatah lagi kawasan Parlimen Cameron Highlands dari segi geografinya terlalu luas menyamai keluasan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kebimbangan saya ialah PDM di DUN Jelai yang kebanyakan tempoh mengundinya begitu singkat dan saya difahamkan ada usaha yang sengaja nak tengok di DUN Jelai peratusan keluar mengundinya rendah supaya nak mengurangkan prospek BN mempertahankan kerusi Parlimen di sini.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena kerana kawasan Parlimen ini luas dan taburan pengundinya dalam satu-satu PDM memakan jarak yang jauh sehingga ada PDM jaraknya 40 kilometer. Tempoh mengundi di DUN Jelai yang dipendekkan sama ada disengajakan atau tidak, itu saya tak tahu,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu SPR digesa supaya menyeragamkan tempoh tamat mengundi di semua PDM di sini seperti mana dalam pilihan raya di tempat lain yang lazimnya berakhir pada pukul 5 petang.

“Saya harap SPR melihat perkara-perkara ini kerana ia mempunyai kaitan dengan hak rakyat dan orang ramai.

“Saya juga nak bangkitkan kesedaran supaya tidak ada kelalaian termasuk jentera BN dan saya menyeru pengundi keluar awal mengundi,” katanya. - UTUSAN ONLINE