Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sedangkan jawatan lain iaitu Timbalan Pengerusi dan lima Ahli SPR masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini.

Menurutnya, di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan 5 orang anggota lain.

Beliau berkata, SPR menurut Perlembagaan tidak boleh wujud jika hanya mempunyai komposisi hanya dengan seorang Pengerusi.

“Mana mungkin Suruhanjaya ini berfungsi dengan hanya seorang ahli sedangkan Perlembagaan dengan jelas dan secara wajib atau ‘shall’ mesti terdiri dari tujuh orang.

“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori. Justeru itu, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini boleh dipertikaikan dan adalah tidak berperlembagaan dan dikhuatiri ia akan terbatal jika dicabar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan hari ini menyiarkan laporan mengenai kelayakan SPR untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana hanya Azhar yang menganggotai senarai ahli SPR manakala lima lagi anggotanya termasuk jawatan Timbalan Pengerusi masih kosong dan belum diisi.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar meminta pakar Perlembagaan Persekutuan atau Pejabat Peguam Negara menghuraikan bagaimana untuk berkompromi dengan undang-undang tersebut supaya rakyat jelas kerana keputusan yang dibuat kelak boleh dipertikaikan jika bercanggah dengan Perkara 114. - UTUSAN ONLINE