Justeru, Ahli Parlimen Arau itu akan merujuk isu berkenaan ke mahkamah bagi mendapat tafsiran sebenar sama ada pelantikan Menteri Besar perlu mengikut Perkara 39 (4) atau 39 (2).

Bercakap dalam wawancara bersama Utusan Online, beliau menambah, mengikut Perkara 39 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, pelantikan Menteri Besar perlu mendapat sokongan majoriti wakil rakyat manakala Perkara 39 (4), Raja Perlis berkuasa mutlak melantik Menteri Besar sama ada mendapat sokongan atau sebaliknya.

“Lagi satu, mengikut Perkara 39 (6) Menteri Besar yang tidak mendapat sokongan majoriti perlu berhenti dan kita sudah menghantar notis daripada peguam supaya Azlan segera meletakkan jawatan. Bagaimana kita hendak berdiam diri kerana perkara ini (pelantikan Menteri Besar) dibuat dengan cara salah.

“Saya akan minta tafsiran daripada mahkamah mengenai pelantikan sesuka hati itu (Menteri Besar). Apa kuasa sebenarnya adalah mengikut kuasa mutlak raja atau sokongan majoriti,” katanya.

Tambahnya, jika kuasa menentukan Menteri Besar itu tidak melalui sokongan majoriti, lebih baik tidak diadakan pilihan raya.

“Buat apa bekerja teruk bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang tetapi kita tidak ada kuasa menentukan siapa calon Menteri Besar yang kita mahu. Begitulah yang berlaku sejak dari tahun 2008 lagi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai lapan wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada Azlan sebagai Menteri Besar sebelum ini, Shahidan berkata, mereka telah menandatangani perjanjian untuk tidak menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu.

“Wakil rakyat sudah tandatangan, mereka tidak sokong Azlan, kalau sokong juga mereka munafiklah. Mereka tidak rasa bagaimana saya rasa menanggung segala perbelajaan dan sebagainya untuk pastikan UMNO dan BN menang di Perlis,” katanya. - UTUSAN ONLINE