Video oleh HASNURUL MOHAMED

Perkara itu terbukti melalui ucapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di hadapan hampir 3,000 perwa­kilan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Dalam ucapan bertemakan ‘Lembayung Arjana Bangsa’, be­liau menggariskan tujuh manifesto yang akan menjadi gagasan besar dan bekalan pemikiran serta asas tindakan dalam menghadapi pilihan raya yang dianggap ‘ibu segala pilihan raya’.

Tujuh manisfesto yang diga­riskan itu merangkumi politik, eko­nomi maqasid syariah, peng­angkasaan pendidikan, keselamatan negara, antarabangsa, raja-raja Melayu dan agama.

“Inilah manifesto sebelum ma­nifesto. Inilah manifestasi akujanji kita kepada rakyat. Saya percaya tujuh manifesto bangsa ini yang merangkumi tujuh lembayung arjana (kejayaan) bangsa akan menjadi pegangan kita buat selama-lamanya,” katanya.

Tahun ini merupakan kali ke­dua Ahmad Zahid yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presi­den merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Pada tahun lalu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menggariskan tujuh cabaran po­litik untuk parti itu dalam menghadapi PRU-14.

Dengan menggunakan ayat, “dari hitungan edah politik”, Ahmad Zahid menarik perhatian perwakilan dan ahli UMNO secara keseluruhan mengenai gerbang PRU-14 dan menggesa mereka turun ke gelanggang dengan memiliki winning mentality atau mentaliti mahu menang.

“Ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat keyakinan dan tindakan. UMNO tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan. Putrajaya akan te­rus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional,” katanya sambil disambut tepuk gemuruh daripada perwakilan.

Sambil mengingatkan matlamat UMNO ialah untuk mencapai kemenangan dua pertiga kerusi Parlimen dan meraih majoriti jauh lebih besar di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahmad Zahid yang mengenakan baju Melayu berwarna merah jambu menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik ketertiban yang bermula dengan pemilihan pemimpin itu sendiri.

“Jauhilah sikap buruk seperti mencari personal glory. Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai satu pasukan yang mantap,” tegasnya.

Ahmad Zahid mengakhiri ucapan hampir dua jam itu de­ngan memberikan resipi kepada ahli-ahli UMNO bagaimana untuk mencapai kemenangan besar dalam PRU-14.

“Dengarlah semua pemimpin sayap dan ahli parti sekalian. Ini­lah bekalan dan ‘jajan’ untuk saudara-saudari bawa pulang. De­ngarlah baik-baik apa yang hendak saya perkatakan JAJAN 3 A.

“A yang pertama ialah : Action, A yang kedua ialah Action dan yang ketiga : juga Action. Apabila Datuk Seri Presiden memberi arahan Action! Kita segera gerakkan jentera pilihan raya tanpa sebarang alasan.

“Ketahuilah wahai bangsaku satu undi kepada Barisan Nasio­nal bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat khususnya orang Me­layu yang terus memberi sokongan kepada parti tersebut.