Calonnya, Muhammad Aiman Zainali berkata, beliau akan memeriksa program-program yang akan dijalankan selepas ini.

“Memang saya akan check (periksa) juga. Kita tahu hal itu. Itu hal penganjur.

“Mana yang jemput kita, saya akan pergi,”katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Pagi Pekan Semenyih di sini hari ini.

Muhammad Aiman berkata demikian bagi mengulas isu kempen ceramah pertamanya di tapak pasar malam Taman Jenaris, Kajang di sini malam tadi yang terpaksa dihentikan berikutan tidak mempunyai permit polis.

Muhammad Aiman yang dijadualkan sebagai penceramah terakhir pada program itu bagaimanapun tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.

Arahan untuk menghentikan ceramah tersebut dikeluarkan penguat kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja dua penceramah selesai memberikan ucapan masing-masing.

Penceramah tersebut ialah Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal. - UTUSAN ONLINE