Video oleh GHAZALI BASRI

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan beliau yakin rakyat memilihnya sebagai wakil rakyat kerana parti itu.

Sehubungan itu tegasnya, beliau tidak akan meninggalkan parti, sebaliknya berikrar akan terus istiqamah dalam perjuangan bersama UMNO.

"Saya ingin menafikan perkara yang tular kononnya saya juga ikut jejak Jeli dan Kimanis, saya menghadapi PRU-14 atas tiket UMNO dan BN, tauliah untuk saya bertanding ditandatangani Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Maka, saya tidak boleh mengkhianati parti dan amanah rakyat yang pilih saya sebagai Ahli Parlimen Machang atas nama UMNO," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas bersama Biro Politik UMNO Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Susulan pengumuman Mustapa dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman keluar parti, satu mesej tular sejak beberapa hari lalu mendakwa seramai 17 Ahli Parlimen Umno dikatakan akan keluar parti termasuk Ahmad Jazlan.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pemimpin peringkat bawahan di negeri ini tidak tahan 'diuji' dan didekati parti lain, namun merayu supaya mereka terus istiqamah bersama UMNO dan berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan.

"Sehingga hari ini UMNO masih parti paling besar jika hendak dibandingkan parti yang memerintah negara. UMNO parti berjasa, berbudi dan kerana UMNOlah kita jadi pemimpin hari ini. Takkan kita nak keluar kapal besar dan menaiki kapal kecil di saat politik negara bergelora hari ini," katanya.

Mengulas keputusan Mustapa meninggalkan parti, Ahmad Jazlan berkata, sebagai seorang sahabat dan bekas teman seperjuangan, beliau berharap dapat bertemu dan bercakap sendiri dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu bagi mendengar penjelasan lanjut.

"Kita hormati keputusan beliau atas prinsip demokrasi, sehingga hari ini saya belum dapat jumpa beliau dengar sendiri penjelasan. Kami ambil keputusan untuk tidak melemparkan tuduhan atau buat andaian melulu kerana penjelasan sebenar harus datang dari beliau sendiri.

"Beliau bagaimanapun tidak mempengaruhi orang lain untuk ikut jejak langkahnya. Itu menandakan beliau masih sayangkan UMNO," katanya. - UTUSAN ONLINE