Perdana Menteri mencetuskan kelainan apabila pembubaran Parlimen kali ini tidak berlaku pada hari yang sama pengumuman dibuat seperti yang lazimnya dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu.

“Saya ingin memaklumkan ke­pada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telah pun menghadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018,” katanya dalam ucapan khas pembubaran Parlimen ke-13 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Pengumuman khas itu disi­arkan secara langsung melalui stesen-stesen televisyen dan Face­book rasmi Najib Razak dari Pejabat Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata, berikutan daripada pembubaran Parlimen ke-13, semua ketua kerajaan negeri dinasihatkan mendapatkan per­ kenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat bagi memutuskan tarikh penamaan calon, undi pos dan pembuangan undi selepas mene­rima notis pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sebanyak 14.9 juta pemilih berdaftar layak mengundi berdasarkan kepada Daftar Pemilih Suku Keempat 2017.

Perdana Menteri berkata, pembubaran tersebut menzahirkan komitmen kerajaan BN terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan PRU-14 dijalankan menurut lunas undang-undang.

Tegas beliau, berpaksikan kepada kuasa memilih kerajaan berada sepenuhnya di tangan rakyat, semua pihak khususnya parti-parti bertanding wajib memahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem pilihan raya yang berasaskan jumlah kerusi dimenangi dan bukannya berdasarkan kiraan undi popular.

Pengerusi BN itu menegaskan, beliau bersama Ahmad Zahid dan rakan-rakan pimpinan BN akan turun menjelajah bertemu rakyat di seluruh pelosok tanah air bagi memberi penerangan dan meya­kinkan rakyat tentang manifesto dan hala tuju negara yang direncanakan.

“Apa yang kami carta dan rencanakan dengan teliti, agar para pengundi memberi mandat dan peluang sekali lagi kepada kami, untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti yang kukuh.

“Dengan izin Tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada Barisan Nasional, kami sesungguhnya berjanji dan ber­ikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebe­lumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara,” katanya.

PRU-14 menjadi cabaran buat BN apabila bakal berhadapan de­ngan Pakatan Pembangkang yang diketuai DAP, selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu kembali memimpin negara jika Pakatan Harapan menang walaupun beliau sudah berusia 93 tahun.

Tempoh mandat kerajaan BN pimpinan Najib sepatutnya berakhir pada 24 Jun ini dan mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, Pilihan Raya Umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh Parlimen dibubarkan.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan di negara yang mempunyai 31.7 juta penduduk.

Sarawak telah mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 7 Mei 2016 yang menyaksikan BN diberikan mandat besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN yang ditandingi.