Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam berkata, PH telah melakukan kerja sebaik sahaja mereka mengemukakan petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum yang lalu.

"Mereka telah masuk ke kampung-kampung Orang Asli yang menjadi undi penentu kemenangan untuk meraih sokongan.

"Bagaimanapun apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan calon Ramli Mohd Nor yang datang dari dalam kalangan Orang Asli, PH menjadi buntu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya PH menjadi kelam-kabut sehingga mereka terpaksa menggunakan jentera kerajaan untuk mendapatkan sokongan kaum berkenaan dan ia bertentangan dengan apa yang mereka laungkan selama ini.

Sehubungan itu beliau menjangkakan lebih banyak taktik kotor akan digunakan termasuk mencuri kad pengenalan Orang Asli yang dikenal pasti penyokong tegar BN.

"Mereka hanya akan menang jika menggunakan taktik kotor.

"Mereka memang berkemampuan melakukannya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dikendalikan oleh individu yang bias kepada PH dan ini dapat dilihat apabila tiada tindakan diambil apabila jentera PH memberi duit minyak kepada penyokongnya, sedangkan kemenangan sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah kerana jentera BN didapati bersalah memberi duit minyak kepada petugasnya.

"Bekas pengerusi SPR juga berada dalam kepemimpinan parti komponen PH dan pastinya mereka cukup mahir melakukan kerja sedemikian dan saya yakin BN tewas pada pilihan raya umum yang lalu juga adalah kerana sabotaj," katanya.

Bagi memastikan pelbagai taktik kotor itu tidak berjaya, BN telah meletak petugasnya tinggal bersama Orang Asli untuk memerangkap petugas PH.

Justeru itu, kata beliau, taktik PH menggunakan kenderaan milik Jabatan Perhutanan telah terbongkar menyebabkan pemimpin mereka berang. 

Kerjasama Pas, katanya, turut memberi kelebihan kepada BN untuk memperolehi sokongan daripada kira-kira 3,500 penyokong parti itu. - UTUSAN ONLINE