Status sebagai ADUN itu turut menandakan Musa layak untuk merampas kembali jawatan Ketua Menteri daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jika saman yang difailkannya di Mahkamah Tinggi pada Mei lalu berikutan pemeca­tannya oleh Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berjaya.

Terdahulu, Musa yang ber­depan dengan siasatan melibatkan Istana Negeri kembali ke ne­geri ini tepat pukul 12.30 tengah hari menaiki pesawat khas yang mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Kepulangannya turut dilihat menjadi penyuntik semangat kepada pembangkang Sabah apabila lebih 2,000 penyokongnya termasuk pemimpin-pemimpin UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti Solidariti Tanah Airku (Star) berada di KKIA bagi me­nyambut kedatangan pemimpin yang pernah memimpin Sabah selama 13 tahun itu.

Difahamkan, Musa menghidap masalah jantung dan tekanan darah yang tidak menentu menyebabkan beliau terpaksa ke luar negara pada 14 Mei lalu untuk menerima rawatan di United Kingdom (UK) sebelum balik ke negara ini dan menyambung rawa­tan di Pusat Perubatan Sime Darby, Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu.

Beliau bagaimanapun dilihat menggagahkan diri untuk me­nu­naikan tanggungjawabnya me­ngangkat sumpah walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Dalam sidang akhbar selepas proses itu, Musa menegaskan beliau bukanlah seorang pelarian yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa, sebaliknya bertekad untuk menunaikan tugas sebagai wakil rakyat.

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan tetap memberikan kerjasama tersebut selagi diperlukan.

“Perlu saya tekankan di sini bahawa saya bukanlah seorang pelarian, dan tidak sesekali pernah terniat di dalam hati untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan dalam media sosial selama ini,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Musa me­ngangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas menang dalam Pili­han Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun dua hari kemudian, Mohd. Shafie pula dilantik memegang jawatan itu.

Pelantikan Mohd. Shafie dibuat selepas lima ADUN Barisan Nasional (BN) daripada UPKO me­ngumumkan keluar parti dan menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan ADUN Senallang itu.

Susulan itu, Musa telah memfailkan saman ke atas Mohd. Shafie dan Juhar bagi memboleh­kan beliau diisytihar sebagai Ke­tua Menteri yang sah.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Mohd. Shafie untuk memba­talkan saman tersebut dan me­netapkan 26 Oktober depan untuk perbicaraan.