Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

Dalam ucapannya sempena sambutan 10 tahun kerajaan DAP Pulau Pinang malam tadi, Guan Eng mendakwa kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan peruntukan yang mencukupi untuk membangunkan negeri yang terkenal dengan jolokan sebagai pulau mutiara itu.

Bagaimanapun, dakwaannya itu salah sama sekali kerana sejak tahun 2006, kerajaan Pusat antara lain telah melaburkan sejumlah RM2.5 bilion untuk pelbagai projek termasuk 29 projek besar dan mitigasi banjir di Pulau Pinang.

Perkara itu disahkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 25 September tahun lalu yang memaklumkan mengenai pelaburan kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang.

“Saya ada senarai penuh semua projek mitigasi di Pulau Pinang, malah ada beberapa lagi projek sampingan yang akan dilaksanakan menjadikan jumlah keseluruhan nilai projek RM2.8 bilion,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Hari Sungai Sedunia sempena perhimpunan bulanan kementeriannya di Jabatan Pengairan dan Saliran, tahun lalu.


Dalam aspek kesihatan pula, penduduk Pulau Pinang tidak pernah diabaikan oleh kerajaan Persekutuan apabila sebanyak RM1.4 bilion telah disalurkan bagi tempoh 2008 hingga tahun lalu bagi memastikan penduduk negeri itu mendapat khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Pada Jun tahun lalu, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, peruntukan itu antara pelaburan berbilion ringgit yang telah dikeluarkan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai bantuan dan kemudahan asas demi kesejahteraan masyarakat bandar dan luar bandar.

“Aspirasi kerajaan Persekutuan dalam pembangunan Pulau Pinang sentiasa berpaksikan kepada keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya melalui buku Inisiatif, Peruntukan dan Ikhtiar Murni Kerajaan Persekutuan Demi Mensejahterakan Rakyat Pulau Pinang Pencapaian Tahun 2008-2017.

Sementara itu, Guan Eng turut menafikan kepentingan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan BN sejak tahun 2012, namun dalam masa yang sama beliau ‘meniru’ kaedah sama dengan mengagihkan beberapa peruntukan kepada rakyat Pulau Pinang.

Antaranya termasuk kerajaan DAP bermula tahun ini memperkenalkan pemberian kad I-Love-Penang sebanyak RM300 kepada keluarga yang layak.

Dalam ucapan yang sama, anak kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang itu cuba menegakkan benang yang basah bagi membersihkan dirinya bebas rasuah malangnya, mulai Februari lalu, beliau memutuskan tidak akan memberi sebarang maklum balas mengenai skandal terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion yang menimbulkan pelbagai kontroversi.

Di samping itu, seperti biasa, modal politik pembangkang adalah mewujudkan persepsi dengan mengutuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang mendakwa pendapatan bagi cukai tersebut digunakan hanya untuk BR1M semata-mata.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam hari ini berkata, sistem GST adalah langkah percukaian yang tersusun, terbaik, adil dan ke hadapan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Saya sebagai bukan orang politik sama sekali dan tidak akan menyokong kembali penggunaan sistem lama yang hanya mendatangkan ketirisan hasil dan tidak mampu memberi daya saing dari sudut eksport.

“GST amat baik kerana meningkatkan eksport seperti mana tahun lalu, pertumbuhan eksport kira-kira 20 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, usaha Guan Eng memperlekehkan Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dilihat gagal malah menunjukkan beliau gemar rakyat Pulau Pinang menjadi seorang yang boros.

Ini kerana, ADAM50 yang memberi dana tabungan pemulaan RM200 kepada bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022 menerusi Unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dilihat mampu digandakan dengan penambahan pelaburan dan seterusnya digunakan pada masa depan.

Pada 19 Disember tahun lalu, selebriti terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi berkata, insentif itu sangat bagus dan ia tidak perlu dilihat sebagai pancingan kerajaan. - UTUSAN ONLINE