Sebaliknya, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, jawatan itu bagi membolehkan beliau berperanan untuk mengukuhkan parti.

Sehubungan itu, ujar beliau, keutamaan setiap ahli parti ketika ini sepatutnya adalah bagaimana untuk bersama-sama mengukuhkan BN dan parti komponennya.

“Sesiapa sahaja yang boleh memberi sumbangan dan nilai tambah kepada BN adalah dialu-alukan kerana inilah semangat yang harus kita ada.

“Daripada kita mengkritik antara satu sama lain, lebih baik kita cari jalan bagaimana untuk kita dapat bekerjasama ke arah mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bertemu penduduk Santai Petang Bersama Bossku di Dataran Sembilang, Batu Kawan, di sini hari ini yang dihadiri hampir 500 orang.

Najib mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mendakwa beliau mengintai peluang untuk menjadi Perdana Menteri semula dengan pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Dalam pada itu, Najib berkata, sesiapa sahaja termasuk Mohamed Nazri boleh memainkan peranan kepada BN dengan syarat sanggup mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara konsisten serta mendapat sokongan parti komponen MCA dan MIC.

Namun, kata beliau, Mohamed Nazri sebelum ini telah diminta oleh MCA dan MIC untuk melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung BN kerana kritikan keterlaluan kepada tokoh masyarakat Cina sehingga menyebabkan masyarakat Cina tersinggung.

Selain itu, tambahnya, Mohamed Nazri juga pernah mendakwa pelantikan semula beliau dalam BN bakal menjejaskan hubungan UMNO dengan Pas namun dinafikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tetapi jika kita masih ingat, Mohamed Nazri sendiri pernah menolak kerjasama dengan Pas sebaliknya menggesa UMNO bekerjasama dengan DAP dan kita ketepikan MCA serta MIC,” katanya. - UTUSAN ONLINE