Ahmad Zahid berkata, beliau yang diamanahkan untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka memohon maaf atas apa dilakukan Perdana Menteri yang paling lama memerintah (Tun Dr. Mahathir Mohamad) di negara ini.

Katanya, sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

“Ya kerana kita tahu Sarawak dan Sabah ini lebih luas dengan ‘tagline’ kita mesti memperimbangi pembangunan wilayah dengan membuat koridor-koridor di Sabah, Sarawak dan di Semenanjung agar memastikan tiada kawasan pedalaman pun tidak dihubungkan yang penting untuk rakyat.

“Keutamaan kita bukan sahaja jalan raya baharu tapi menghubungkannya dengan Lebuhraya Pan Borneo kepada pekan-pekan kecil. Apa guna lebuh raya tapi tiada perhubungan dengan pekan-pekan kecil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Simunjan 2018 di Dewan Mesra Simunjan di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merupakan penyandang Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo; ADUN Simunjan, Awla Dris dan ADUN Gedong, Datuk Naroden Majais.

Tambah beliau, fasa kedua Lebuh Raya Pan Borneo nanti akan menghubungkan dengan kawasan pekan kecil dan pinggir bandar dan pedalamn.

“Ia bererti kita tidak melupakan penduduk ini kerana kepedulian kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk rakyat.

“Tapi kita harus bersabar sedikit, mungkin ada mengatakan sudah terlalu lama bersabar kerana kepimpinan dahulu yang hanya melihat di bandar sebaliknya kepimpinan sekarang datang ke Sarawak sebanyak 61 kali lawatan bukan hanya di bandar,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE