Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam wawancara bersama Utusan Online berkata, ini kerana ahli dan pengerusi JKKK juga merupakan pilihan rakyat di peringkat cawangan dan akar umbi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sebagai pemerintah, sewajarnya memikirkan cara terbaik untuk memastikan elaun tersebut dikekalkan.

"Gaji Menteri Besar dan wakil-wakil rakyat tidak dipotong tetapi elaun JKKK pula ditarik, ini sesuatu yang tidak adil. Kalau tidak mampu, jangan jadi pemerintah (mengetuai kerajaan negeri)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan menyeru kepada semua kepemimpinan dan ahli UMNO supaya bersatu di saat Pakatan Harapan pada masa ini tidak kuat dan berpecah belah.

Katanya, sekiranya UMNO tidak bersatu parti keramat orang Melayu itu tidak akan berubah dan sukar untuk menumbangkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang.

Shahidan turut meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya berjiwa besar dengan memberi ruang kepada pemimpin yang tewas seperti Khairy Jamaluddin kembali berkhidmat di dalam parti.

“Zahid kena cari jalan bagaimana untuk tarik KJ (Khairy ) masuk balik, saya masuk balik di dalam barisan kepemimpinan. Kalau satu kumpulan sahaja memimpin, tidak akan ke mana, perlu semua orang.

“Kalau Zahid berjiwa besar UMNO akan kembali kuat, kalau Zahid melatah, tidak berjiwa sebenar, UMNO tidak akan ke mana,” katanya. - UTUSAN ONLINE