Video oleh AZMAN IBRAHIM

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, pesta aiskrim berkenaan sebagai tanda protes beliau terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membenarkan pesta arak di ne­geri berkenaan.

Malah, katanya, aiskrim di­pilih untuk dijadikan pesta berikutan simbolik terhadap gambar atau video tular di media sosial berhubung aksi tidak senonoh yang didakwa mirip Mohamed Azmin bersama seorang wanita di dalam tandas.

“Sebagai anak jati negeri Selangor, saya sama sekali tidak membenarkan aktiviti-aktiviti maksiat dan tidak bermoral seperti pesta arak dijalankan di ne­geri ini.

“Kami akan memberikan aiskrim secara percuma setiap hari bermula hari ini di seluruh negeri Selangor, sehingga Mohamed Azmin dengan jelas pendiriannya tidak membenarkan pesta arak yang memudaratkan anak-anak Selangor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Program yang bermula kira-kira 1.45 tengah hari turut menarik perhatian ratusan pe­ngunjung kompleks beli-belah berkenaan dan Jamal menawarkan aiskrim buatan tempatan berperisa coklat, jagung dan kacang hitam.

Pada 6 Oktober lalu, Jamal ditahan reman kerana membuat aksi pecah botol arak di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor kira-kira jam 7.30 malam, keesokannya.

Beliau ditangkap bersama tujuh yang lain kerana melakukan aksi berkenaan dan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram yang dibaca bersama Seksyen 268 kerana menyebabkan kemudaratan awam.

Jamal bertindak sedemikian setelah Mohamed Azmin memperlihatkan pendiriannya yang sebenar apabila bertegas untuk memberikan kelulusan kepada penganjuran pesta arak selagi pihak penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Menurut Mohamed Azmin, pe­nganjuran pesta arak bukanlah satu isu di Selangor dengan alasan sebelum ini kerajaan nege­ri pernah memberi kelulusan kepada penganjurannya, sekali gus membayangkan betapa bantahan serta sensitiviti umat Islam serta nasihat polis tidak dipedulikan.

Jamal menambah, beliau berharap kerajaan negeri menerima mesej berkenaan dengan jelas iaitu menerusi pesta aiskrim ini, anak-anak selangor tidak membenarkan pesta arak ini berlaku.