Beliau yang juga merupakan Pengarah Syarikat Sinnaiyah & Sons Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Jailani Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, Balakrishnan selaku wakil syarikat dituduh melibatkan diri dengan pengubahan wang haram berjumlah RM6.012 juta pada 12 Jun 2012 dan 5 September 2013.

Sementara pertuduhan kedua, Balakrishnan selaku pengarah syarikat Sinnaiyah & Sons Sdn. Bhd. didakwa melibatkan diri dengan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang dibaca bersama-sama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan bersama-sama satu kes membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM13 juta pada tahun lalu yang akan dibicarakan pada 3 September ini.

Jailani kemudian membenarkan permohonan itu. - UTUSAN ONLINE