Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah bermula hari ini sehingga Sabtu ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Turut direman bagi tempoh sama ialah seorang pengarah syarikat yang dikaitkan dengan Abdul Azeez, terdahulu ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan digari.

Abdul Azeez yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir untuk memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.

Abdul Latif yang juga Pengurus Besar sebuah syarikat pengurusan hartanah ditahan pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Sungai Buloh manakala pengarah syarikat berumur 36 tahun itu pula ditahan pada pukul 5.30 petang semalam di ibu pejabat SPRM.

Menurut sumber, semua suspek berkenaan ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek melibatkan Tabung Haji.

Sumber turut berkata, nilai rasuah yang disiasat ialah bernilai jutaan ringgit dan ketika ini, SPRM turut membuat siasatan terhadap beberapa akaun namun, nilai sebenar masih belum dipastikan.

Dalam pada itu katanya, siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). – UTUSAN ONLINE