Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hanya 16 daripada 31 penyandang kerusi Parlimen dikekalkan, manakala 15 kerusi lagi diwakili calon baharu.

Menurut beliau, sebanyak 14 kerusi akan ditandingi calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diikuti tujuh kerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), enam kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Daripada 15 muka baharu yang dicalonkan, masing-masing enam orang akan mewakili PBB dan SUPP; dua calon PRS serta seorang PDP.

“Gabungan muka baharu dan lama akan membentuk kekuatan kepada BN Sarawak untuk kekal sebagai kubu kuat BN seterusnya mencapai sasaran memenangi 28 hingga 29 kerusi,” katanya pada pengumuman senarai calon BN Sarawak di Ibu pejabat PBB, di sini hari ini.

Abang Johari berkata, seramai 25 calon yang dipilih merupakan lelaki manakala enam lagi wanita iaitu kesemua mereka berjaya melepasi proses tapisan melalui syarat-syarat ditetapkan.

Antara calon baharu mencuri perhatian ialah Presiden SUPP, Senator Profesor Datuk Dr. Sim Kui Hian yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Stampin menentang Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Kui Hian dipertaruhkan mewakili BN merampas kerusi dimenangi DAP menerusi penyandangnya pada PRU-13 lalu, Julian Tan Kok Ping diyakini memberi saingan sengit kepada Chieng Jen yang bertukar kerusi dari Parlimen Bandar Kuching sebelum ini.

BN meletakkan keyakinan kepada Kui Hian merampas kerusi panas itu selepas melihat kejayaan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa yang disandang calon DAP, Christina Chiew Wang See de­ngan majoriti undi 2,085 pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak, dua tahun lalu.

Selain Kui Hian, SUPP turut mencalonkan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai muka baharu bagi merampas dua lagi kerusi pembangkang iaitu ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew di Parlimen Miri yang akan menentang calon PKR, manakala ADUN Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii bertan­ding di Parlimen Sarikei menentang penyandang kerusi itu dari DAP, Wong Ling Biu.

Selain itu, pemilihan Datuk Hanifah Hajar Taib iaitu anak bongsu kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud mengakhiri spekulasi calon BN di Parlimen Mukah.

Sementara itu, dua penyandang kerusi Parlimen dari PRS yang dipecat kelmarin, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Datuk William Nyallau Badak digugurkan di kerusi Parlimen Selangau serta Lubuk Antu.