Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebagai sebuah akhbar yang menjadi wadah serta lidah orang Melayu apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia adalah tidak salah.

Katanya, sebagai sebuah negara demokrasi rakyat bebas untuk bercakap tentang perihal bangsa masing-masing selagi mana tidak mendatangkan pertelingkahan.

"Bangsa lain pun hari-hari bercakap pasal bangsa mereka seperti surat khabar Cina, kita cuma bercakap tentang kepentingan menjaga hak kita," katanya dalam sidang akhbar Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0. di sini malam ini.

Hari ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa, Utusan Malaysia sebagai akhbar yang tidak menyumbang kepada sebarang pembangunan serta integrasi negara selepas kemerdekaan.

Rayer kemudian didapati telah menarik balik sebahagian daripada kenyataannya berkenaan Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir hari ini mengumumkan, syarikat itu akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar, Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Dalam pada itu, Tajuddin turut menyatakan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa kakitangan Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan UMNO menubuhkan tabung khas bagi membantu kakitangan Utusan Malaysia yang berdepan masalah tidak mendapat gaji. - UTUSAN ONLINE