Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, usul tersebut diterima pihaknya daripada ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu yang mengemukakannya atas dasar akauntabiliti dan ketelusan.

Menurut Koo Ham, usul itu mengehendaki kesemua ADUN di negeri ini untuk mengisytiharkan harta termasuk isteri atau suami, anak serta akaun pemegang amanah di bawah mereka.

“Ia mesti dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan dalam masa tiga bulan selepas usul ini diluluskan.

“Kemudian, sama seperti di Parlimen, saya akan mengemukakannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dipaparkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Koo Ham, usul tersebut menunjukkan Perak melangkah ke hadapan berbanding negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, Koo Ham berkata, Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Ke-14 yang bakal berlangsung kali ini juga akan menyaksikan pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) mengenai Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Namun katanya, laporan firma audit berkenaan Movie Animation Park Studio (MAPS) bagaimanapun masih dalam proses untuk disiapkan, justeru berkemungkinan bakal dibentangkan dalam sesi akan datang.

“Selain itu, terdapat juga beberapa pembentangan mengenai penyelarasan tentang elaun dan keistimewaan Yang Dipertua negeri, Timbalan Yang Dipertua negeri serta ADUN-ADUN kerana dahulu terdapat sedikit kepincangan, jadi kita akan selaraskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE