Dalam kenyataan bersama, PH Selangor menganggap khabar berkaitan isu itu didorong oleh agenda jahat musuh politik bagi meretakkan hubungan di antara parti komponen, selain bertujuan memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian di negeri tersebut.

"Oleh itu, PH Selangor menzahirkan sokongan padu dan sepenuh keyakinan terhadap Amirudin sebagai menteri besar Selangor serta pengerusi PH negeri.

"Sokongan dan keyakinan ini juga ditujukan kepada pentadbiran diterajui beliau yang berkeupayaan memimpin Selangor ke aras kemajuan lebih tinggi sekali gus menjamin kemaslahatan rakyat negeri ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut dibuat

Amirudin sendiri selaku Pengerusi PKR negeri, Gobind Singh Deo (Pengerusi DAP Selangor); Izham Hashim (Pengerusi Amanah Selangor) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Pengerusi Bersatu Selangor).

Menurut kenyataan itu lagi, PH Selangor juga bersepakat untuk meneruskan gerak kerja dalam melaksanakan agenda yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan negeri walaupun ada usaha oleh pihak tertentu bagi menggugatnya.

"PH Selangor mengulangi tekad untuk memastikan negeri ini terus maju sebagai sebuah negeri pintar terulung menjelang 2025, selain mengutamakan agenda memberdayakan rakyat agar mampu mendepani segala cabaran yang mendatang, terutamanya berkaitan pembangunan sosio-ekonomi negeri," katanya. - UTUSAN ONLINE