Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penghinaan demi penghinaan dapat disaksikan melalui media sosial terhadap Islam, hukum-hukum Islam, Nabi Muhammad SAW dan institusi Islam.

“Mereka sedaya upaya menanamkan persepsi negatif terhadap Islam serta cuba memecahbelahkan umat Islam agar mereka dapat mengambil kesempatan. Ramadan lalu, ada dalam kalangan mereka yang begitu lantang menentang Islam di Dewan Rakyat tetapi diberi peluang menceroboh institusi Islam dengan mengagihkan zakat kepada masyarakat Islam.

“Agenda ini sangat terancang dan melibatkan pertubuhan antarabangsa sebagai pendesak. Ini dapat dilihat melalui percubaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang akhirnya membuka ruang kepada campur tangan antarabangsa dalam urusan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-60 di Pusat Konvensyen, Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, ancaman kepada aqidah umat Islam semakin banyak, keruntuhan akhlak dan moral anak muda semakin menjadi-jadi serta budaya seks songsang semakin berleluasa.

“Ini disuburkan lagi dengan kewujudan ikon-ikon tempatan sama ada artis atau usahawan yang tanpa segan silu mempromosi budaya-budaya ini, jati diri umat Islam semakin terhakis sehingga tiada sensitiviti terhadap kemaksiatan yang berlaku secara berleluasa.

“Mereka yang ditugaskan untuk menjaga agama Islam lebih prihatin dan beriya-iya mempertahan agama lain serta lebih suka berdiam-diri ketika agama Islam dihina, jelas kepada kita bahawa Islam diserang dari pelbagai sudut, iaitu dari sudut akidah, akhlak, sistem perundangan dan politik,” katanya. - UTUSAN ONLINE