Kenapa saya kata demikian? Saya lihat calon Bebas ini lebih memahami masalah penduduk setempat khususnya di Tanah Rata.

Dia bukan ahli politik, tetapi seorang petani yang menanam bunga di ladang seluas 200 ekar untuk dieksport. Bicaranya tidak retorik dan mengambang.

Dia juga seorang lulusan dari Amerika Syarikat dalam bidang pertanian.

Jadi saya rasa dari segi pengetahuan tentang masalah penduduk setempat, beliau ialah orang yang paling layak menjadi wakil rakyat.

Berbual dengan beliau seolah-olah berbual dengan Menteri Pertanian Cameron Highlands. Dia mempunyai idea besar dalam memajukan sektor pertanian setempat dan seluruh negara.

Jika para pemimpin bercakap pembangunan perindustrian 4.0, beliau mempunyai idea untuk memajukan sektor pertanian 4.0.

Dia tidak hanya menebar persona dan janji, tetapi idea yang bernas.

Bagaimanapun hakikatnya pengundi tidak akan memilih calon Bebas kerana para pengundi kurang yakin dengan kemampuan untuk mengetengahkan masalah rakyat kepada kerajaan.

Tetapi daripada pengalaman membuat liputan pilihan raya kecil, calon Bebas biasanya lebih mempunyai idea dan memahami aspirasi rakyat berbanding calon parti pemerintah atau pembangkang.

Oleh itu calon-calon Bebas walaupun tidak menang pada pilihan raya, saya berharap mereka tidak terus mendiamkan diri, sebaliknya terus aktif mungkin melalui pertubuhan bukan kerajaan.

Di pihak kerajaan pula, janganlah memandang sepi pandangan serta saranan calon Bebas. Dan jika wajar mereka boleh diberi peranan yang signifikan untuk kebaikan negara.

Bagaimanapun jika keajaiban berlaku calon Bebas menang, ia adalah satu perkembangan menarik untuk politik Malaysia. - UTUSAN ONLINE