Melihat kepada senario politik semasa, parti-parti gabungan pembangkang itu bijak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ melalui manifesto mereka, namun apa yang paling utama adalah pihak manakah yang mengaturkan keputusan bagi sesuatu pakatan tersebut.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, strategi DAP yang merupakan ‘bos besar’ kepada gabungan pembangkang itu tidak ubah seperti ‘jarum halus’ yang mampu melukakan orang Melayu tanpa disedari.

Jelasnya, tiada apa lagi yang boleh dibanggakan sekiranya ‘menang sorak, kampung tergadai’ dengan memberikan contoh realiti yang berlaku di Singapura.

“Saya berpendapat DAP sanggup buang roket dan guna simbol PKR bukan kerana akur kepada cadangan pengerusi gabungan tersebut sebaliknya mereka nampak ini sebagai strategi untuk mengaburi mata pengundi Melayu. Perkara yang sama ini turut dilakukan oleh PAP di Singapura satu ketika dahulu.

“Apabila dia berpisah de­ngan Malaysia, ketika pilihan raya umum pertama waktu itu penduduk Melayu Singapura masih ramai. Maka dia meletakkan calon Melayu di hadapan iaitu Yusof Ishak sebagai calon Presiden yang pertama. Apabila menang, beliau hanya jadi boneka kepada PAP tapi kuasa dipegang oleh orang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

DAP yang bakal bertanding 35 kerusi Parlimen di Semenanjung dijangka bakal peroleh manfaat besar iaitu mampu memenangi sehingga 100 peratus kesan daripada penggunaan logo PKR.

Kemenangan itu bakal membolehkan mereka menjadi ‘penentu’ walaupun tidak diangkat sebagai Perdana Menteri seandainya gabungan pembangkang PKR berjaya memenangi PRU-14.