Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Abdul Halim Sidek berkata, BN hanya berisiko berdepan dengan masalah kecil iaitu protes dalaman parti yang boleh diselesaikan pada peringkat parti.

Malah, katanya, langkah yang diambil Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak itu sebagai bijak dan mampu memberi peluang kepada calon terpilih membuat percaturan serta persediaan awal.

“Strategi tersebut dapat mengelakkan sebarang isu terbangkit akibat bantahan atau ketidaksenangan hati calon dalam sesebuah parti komponen yang tidak terpilih sehingga mampu menggugat ‘performance’ parti menjelang pilihan raya.

“Jadi, penamaan calon awal ini akan memberi peluang kepada BN untuk melipatgandakan usaha mereka dalam meraih undi, sedangkan pihak pembangkang pula berkemungkinan terpaksa menukar calon mereka pada saat-saat akhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib mengenai kemungkinan BN mengumumkan calon bagi PRU-14 lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, strategi itu mampu mengatasi niat calon yang tidak terpilih daripada melakukan sabotaj dan mengelakkan amalan ‘cah keting’ dalam kalangan mereka.

“Sekurang-kurangnya, langkah itu memberi tempoh panjang untuk meredakan rasa kecewa atau ketidakpuasan hati serta pucuk kepimpinan boleh mencari mekanisme agar mereka yang tidak terpilih terus kekal dalam parti dan memberi sumbangan dengan cara yang lain,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik dan Pensyarah Komunikasi Strategik Kementerian, Komunikasi dan Multimedia, Datuk M. Periasamy berkata, kepimpinan BN perlu memastikan setiap pemimpin dan ahli parti di peringat akar umbi bertanggungjawab terhadap kemenangan calon parti itu.

“Perbezaan pendapat terhadap calon perlu diketepikan dan utamakan kemenangan calon BN. Kemenangan calon kali ini amat penting bagi survival atau menerusan kuasa parti itu untuk mentadbir negara ini.

“Jadi, perlu elakkan pertelingkahan dalam kalangan ahli BN terhadap pemilihan calon demi kelangsungan parti tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE