Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, perlembagaan yang diamalkan DAP yang kononnya memperjuangkan konsep sama rata hanyalah `indah dipandang’ semata, sedangkan hakikatnya merupakan `racun dalam madu’.

“Kita tak boleh terima DAP sampai kiamat kecuali parti itu ubah perlembagaannya, DAP perjuangkan kononnya konsep sama rata yang hanya indah dipandang tapi merupakan racun dalam madu.

“Di Malaysia kita ada perlembagaan yang amalkan keadilan dan bukannya (konsep) sama rata kerana kita tak boleh samakan orang kaya dan orang miskin. Orang kaya mesti beri pembelaan yang lebih kepada orang miskin. Dalam Islam, kalau kaya kena bela miskin,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh serta seluruh kepemimpinan UMNO negeri dan bahagian berkenaan.

Annuar seterusnya menjelaskan, sekiranya rakyat kaya bertambah kaya manakala yang miskin semakin papa kedana, maka itu dipanggil sebagai undang-undang hutan dan bukan dasar yang diperjuangkan UMNO.

Mengulas seruan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar semua parti Melayu bergabung dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Annuar berkata, beliau ingin tahu bagaimana reaksi Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu.

“Sebelum saya komen, saya perlu tahu apakah Anwar dan Kit Siang setuju semua parti Melayu bergabung dan menyertai Bersatu. Kita juga faham Bersatu tak dapat sambutan orang Melayu dan dalam pilihan raya, statistik jelas menunjukkan orang Melayu tak mahu sertai Bersatu kecuali beberapa pemimpin yang ada kepentingan dan kuasa.

“Tapi orang Melayu rata-rata tak fikir pasal habuan tapi mahu lihat politik lebih murni dan kedudukan mereka terjamin. Kalau ahli UMNO dipaksa atau hatta UMNO ditutup sekali pun, ahli UMNO takkan sertai Bersatu, antara punca utama kerana Bersatu bergabung dengan DAP,” katanya. - UTUSAN ONLINE