Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, UMNO sepatutnya memastikan kesetiaan ahli-ahlinya masih tidak berganjak dalam fasa kebangkitan parti itu.

“Sepanjang empat bulan pasca PRU-14 lalu, saya tidak melihat parti tidak memberikan perincian bagaimana untuk mengukuhkan dan menguatkan dalaman yang dibina namun banyak memberi andaian akan membentuk kerajaan bersama gabungan lain.

“Sebanyak 54 kerusi dipertahankan dan kini tinggal 49 kerusi dilihat satu amaran awal kepada parti keramat itu supaya mengukuhkan ahli sehingga ke peringkat akar umbi agar mereka setia terhadap perjuangan parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemimpin akar umbi dan ahli-ahli UMNO kini berada dalam keresahan kerana tidak melihat sebarang perancangan termasuk usaha barisan tertinggi untuk memastikan parti keramat itu bangkit.

Jelasnya, keresahan itu berlaku kerana ahli-ahli tidak melihat bagaimana hala tuju parti selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, menurut bekas ahli akademik yang kini bertugas sebagai perunding di sebuah firma penyelidikan politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul, dalam situasi sekarang, UMNO memerlukan kepemimpinan yang boleh mengemudi parti dalam memastikan ahli tidak hilang punca.

“Pemimpin UMNO teruta­ma­nya kepemimpinan tertinggi mesti mengemudi parti seperti nakhoda yang mengawal kapal agar tidak tersasar. Ahli parti sudah tentu seperti hilang punca dan kepemimpinan parti perlu memastikan tidak berlaku lagi pemimpin yang keluar parti demi memastikan kelangsungan parti.“Defisit kepercayaan biasa berlaku kepada parti yang kalah seperti di United Kingdom yang mana parti Buruh dan parti Konservatif saling berganti membentuk kerajaan. Namun, realiti politik di negara ini adalah Barisan Nasional tidak pernah kalah dalam pilihan raya umum dan ini adalah pengalaman baharu parti UMNO sebagai pembangkang,” katanya.