Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, cawangan tersebut ialah Kampung Gagu - yang mana ia dikaitkan dengan kampung asal Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri ini, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Katanya, kesemua 57 cawangan lain telah berjaya mengadakan mesyuarat agung masing-masing sekali gus menandakan UMNO terus mendapat sokongan rakyat walaupun kalah dalam PRU-14.

“UMNO Bahagian Jelebu akan menubuhkan cawangan baharu di Kampung Gagu sebelum akhir tahun ini,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu di Simpang Pertang hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Yang turut hadir, barisan kepimpinan UMNO bahagian tersebut serta para ahli jawatankuasa Pas Kawasan Jelebu yang diketuai pemimpinnya, Norman Ipin.

Dalam ucapannya itu, Jalaluddin memberitahu lebih 300 perwakilan bahawa Hishammuddin adalah pemimpin yang telah menyelamatkan UMNO Jelebu sebelum PRU-14.

Sebelum itu, katanya, terdapat ura-ura untuk meletakkan calon MIC di kerusi Parlimen Jelebu.

“Bagaimanapun, Datuk Seri Hishammuddin telah pergi menemui Pengerusi Barisan Nasional (BN) ketika itu dan menjelaskan ura-ura itu tidak dipersetujui oleh pengundi di peringkat akar umbi,” katanya.

Hishammuddin yang mengulas isu itu semasa berucap pada majlis itu menyifatkan Jalaluddin sebagai pemimpin yang setia dan ikhlas kerana tidak membantah ketika ura-ura tersebut dibangkitkan kepadanya.

Sebaliknya, jelas beliau, Jalaluddin telah pergi menemui akar umbi bagi mendapatkan maklum balas terhadap cadangan berkenaan.

“Tentangan terhadap ura-ura itu bukan sesuatu yang kosong atau sengaja diada-adakan kerana ia adalah maklum balas akar umbi sendiri yang mahu UMNO terus bertanding di kerusi tersebut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE