Bagaimanapun, beliau menegaskan, UMNO sama sekali tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan DAP yang mempunyai agenda bertentangan dengan perjuangan parti berkenaan.

“Kita tak kata bahawa penyatuan ummah Pas dan UMNO ini menutup pintu, sebaliknya kita buka seluas-luasnya kerjasama dengan parti-parti lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain supaya kerajaan Pakatan Harapan yang gagal ini ditumbangkan.

“Kita sudah buat keputusan UMNO tidak akan dibubarkan untuk masuk Bersatu, itu keputusan peringkat tertinggi. Tetapi sebagai parti politik kita sentiasa buka pintu, sesiapa sahaja yang hendak bersama UMNO termasuk Bersatu, (saya ucapkan) ‘selamat pulang saudaraku’,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Khairy Jamaluddin dan kira-kira 870 perwakilan dari bahagian tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau mengingatkan, kerjasama UMNO dan Pas semata-mata tidak akan menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, beliau meminta jentera digerakkan manakala parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC turut sama merancang strategi untuk bangkit dan memperkuatkan parti masing-masing.

“Kemenangan tidak boleh dijamin dengan penyatuan ummah sahaja. Apa-apa boleh berlaku. Kita cakap kerajaan gagal lemah, tiga tahun lemah tapi setahun (sebelum PRU-15) nanti semua kerajaan bagi. Bagi bonus lima bulan kepada kakitangan awam, hutang peneroka Felda dihapuskan, kita kena sentiasa bersiap sedia,” ujarnya.

Mohamad juga meminta pergerakan sayap-sayap parti itu supaya mempunyai perancangan dan sedia membuat perubahan bagi menarik minat masyarakat terhadap perjuangan UMNO.

Katanya, UMNO juga akan memudahkan orang ramai terutama generasi muda untuk menyertai parti tersebut berbanding sistem sedia ada yang dilihat menyukarkan proses pendaftaran ahli baharu. - UTUSAN ONLINE