ZAHIDI Zainul Abidin

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sebaliknya hanya mengetahui berita mengenai tindakan Ismail keluar parti untuk menyertai PPBM itu melalui media.

“Kita rasa kecewa, sebagai ahli UMNO kita telah menyokong beliau (Ismail) selama ini. Mungkin dia ada alasan tersendiri dan kita hormati keputusannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Ismail yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau mengumumkan keluar UMNO dan BN selepas hilang keyakinan terhadap pucuk kepemimpinan parti.

Serentak dengan itu, adik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga memaklumkan bakal menyertai PPBM dalam tempoh terdekat.

Ismail Kassim
ISMAIL KASSIM

Untuk rekod, Ismail mula menyertai UMNO sejak 30 tahun lalu dan pernah menjawat beberapa jawatan penting iaitu sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.

Sementara itu, Zahidi berharap, pemimpin-pemimpin UMNO lain tidak mengikut jejak Ismail keluar parti sebaliknya perlu fokus dalam usaha mengukuhkan kembali parti keramat orang Melayu itu. - UTUSAN ONLINE