Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkembangan terbaharu itu amat menarik dalam keadaan parti menghadapi pelbagai cabaran setelah tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Malah katanya, pertambahan keahlian dalam kalangan golongan muda itu juga menepis dakwaan bahawa mereka telah beralih menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Pendaftaran keahlian baharu sedang rancak dan semua Bahagian UMNO Perak berlaku penambahan lima ke 10 peratus ahli termasuk dalam kalangan orang muda dan ini adalah sesuatu yang sangat menarik.

“Kita tidak bimbang apabila orang kata, ramai golongan muda beralih selera (menyokong PH) sedangkan mereka ramainya juga telah mengisi borang (menjadi ahli UMNO). Tambahan lagi pendaftaran kini boleh diisi melalui dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Timur di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sehingga 12 Jun lalu, UMNO Perak mempunyai 237,246 ahli dimana wanita mencatatkan jumlah ahli teramai iaitu sebanyak 101,449 orang.

“Secara keseluruhannya, selain wanita, UMNO Perak mempunyai 75,166 ahli biasa, Pemuda sebanyak 37,506 orang dan Puteri dengan 23,125 orang,” katanya.- UTUSAN ONLINE