Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti tersebut tidak bersikap­ perkauman, malah sentiasa mem­beri peluang kepada kaum lain sejak negara mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu.

Beliau berkata, hasil keterbukaan parti tersebut telah menyebabkan Barisan Nasional ber­upaya mewakili semua lapisan masyarakat termasuk yang ada di Sabah dan Sarawak.

“UMNO berkawan dengan semua kaum sebab itu dalam Kabinet ada menteri dan timbalan menteri yang mewakili semua kaum di Sabah dan Sarawak. Tidak cukup dengan itu, dilantik juga senator bagi masyarakat Orang Asli dan etnik tertentu.

“Tidak ada sejarah dalam dunia beri peluang kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Di seluruh Asia Tenggara hanya ada sekolah satu bangsa. Tetapi kita benarkan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing walaupun selepas 60 tahun merdeka,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Telok Kemang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; timbalannya, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar; Ketua Wanita UMNO bahagian, Sofiah Sidek; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Najib Tan Sri Mohd. Isa dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Rozana Abu Sarim.

Sementara itu, Mahdzir yang merupakan Menteri Pendidikan berkata, UMNO banyak memainkan peranan dalam memperkasakan sistem pendidikan di negara ini.

Katanya, banyak usul yang dibawa oleh cawangan dan bahagian UMNO telah didengar oleh pimpinan parti dan akhirnya dijadikan dasar oleh kerajaan bagi memantapkan pendidikan.

“Dasar yang dibuat pemimpin dahulu adalah datang daripada UMNO. Daripada usul yang dibuat seperti meminta sekolah berasrama penuh, vokasional, politeknik dan macam-macam lagi. Bila dibina maknanya ini adalah UMNO yang buat,” katanya.

Menyentuh mengenai pakatan pembangkang, Mahdzir berkata, beliau percaya Penasihat DAP, Lim Kit Siang masih mahu meneruskan konsep kesamarataan, Malaysian Malaysia walaupun beliau kini menjalinkan kerjasama dengan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dr. Mahathir boleh bertanya kepada Kit Siang adakah dia masih membawa konsep Malaysian Malaysia atau sudah tidak perjuangkan lagi disebabkan mereka sudah berkawan? Saya tidak fikir begitu.

“Walaupun Dr. Mahathir, (Datin Seri) Dr. Wan Azizah dan Mohamad Sabu ada dalam Pakatan Harapan tetapi DAP yang sebenarnya mendominasi pembangkang,” katanya.