Exco Pemuda UMNO, Muhammad Faiz Hashim berkata, UMNO dan Pas perlu terus istiqamah dan konsisten memperjuangkan nasib rakyat membabitkan pelbagai isu antaranya ekonomi, agama serta isu negara yang selama ini benar-benar membelenggu rakyat.

“Saya menyokong penuh pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki dan pendirian Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli serta orang ramai tidak menyebarkan video itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam tular dalam laman sosial rakaman video intim membabitkan dua lelaki yang seorang daripadanya didakwa menteri Kabinet.

Awal pagi tadi, lelaki yang dikaitkan dengan video tersebut tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu.

Muhammad Faiz berkata, menteri yang dikaitkan dengan video itu adalah daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah pada hari ini.

“Jadi sudah tentu segala kuasa ada di tangan kerajaan dan siasatlah, tidak perlu hendak menuduh orang UMNO yang melakukannya. Entah-entah yang melakukan perkara ini datangnya daripada orang PH sendiri?

“Jika benar ‘menteri’ berkenaan terlibat, seharusnya beliau meletak jawatan. JIka tidak benar, seharusnya Haziq Abdul Aziz dihukum kerana pengakuan sumpah palsu yang diberikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE