Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam masa sama, UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga mempunyai kelebihan tersendiri untuk dipelajari Pas, iaitu pengalaman luas sebagai sebuah Kerajaan Persekutuan selama lebih 60 tahun.

Kata beliau, proses pembelajaran berbentuk timbal balas seumpama itu harus diterjemahkan dalam pelbagai bentuk yang positif apabila piagam kerjasama melibatkan kedua-dua parti ditandatangani dan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita akui Pas sebagai pembangkang secara jelas mempunyai daya tahan luar biasa manakala UMNO dan BN pula tidak ada pengalaman sebagai pembangkang di peringkat nasional.

“Apa yg sy maksudkan daya tahan itu ialah tanpa sumber kewangan, kuasa atau infrastruktur politik, Pas masih boleh bertahan sehingga sekarang di peringkat nasional, negeri dan kawasan-kawasan. Maka daya tahan ini harus kita pelajari.

“Bukan bermakna kita tidak ada daya tahan. Pas juga perlu belajar daripada pengalaman UMNO dan BN sebagai sebuah kerajaan selama lebih,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Presiden UMNO di Bukit Marak, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, dalam situasi politik ketika ini, kedua-dua parti perlu melihat kepada kelebihan atau kekuatan masing-masing bagi memperkuatkan blok pembangkang, bukannya mencari kelemahan.

“Kalau kita melihat kepada kekuatan kedua-dua pihak dan terjemahkan dengan baik, pastinya kita memperoleh hasil yang baik untuk masa depan,” katanya. - UTUSAN ONLINE