Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, selain mempunyai barisan pemimpin yang berintegriti, kedua-dua parti itu juga mempunyai pengalaman serta sejarah yang panjang dalam pentadbiran negara atau sesebuah negeri.

Sementelah, kata beliau yang juga Ketua Wanita UMNO negeri, kerjasama kedua-dua parti itu ketika ini juga kian utuh dan semakin diyakini oleh orang Melayu dan umat Islam.

“Dari segi kedudukan jumlah ahli dan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) juga, gabungan UMNO-Pas mempunyai kelebihan berbanding mana-mana parti orang Melayu lain.

“Maka jika terdapat seruan untuk orang Melayu dan umat Islam berpayung di bawah satu platform politik, tidak syak lagi gabungan UMNO-Pas adalah pilihan yang tepat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad orang Melayu yang kini berpecah kepada enam parti politik menyertai Bersatu bagi memperkuatkan kuasa politik orang Melayu.

Selain itu, Norliza berkata, gesaan Dr. Mahathir berkenaan sepatutnya dibuat sebelum beliau menubuhkan Bersatu yang jelas merupakan satu lagi faktor yang menyebabkan orang Melayu dan umat Islam berpecah.

Dalam masa sama, ujar beliau, gesaan Dr. Mahathir untuk orang Melayu berpayung di bawah Bersatu juga tidak akan memberikan sebarang kesan atau makna sekiranya parti itu masih meneruskan kerjasama dengan DAP.

“Apa yang pasti orang Melayu dan umat Islam ketika ini sangat bimbang dengan tindak-tanduk pemimpin DAP khususnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan bumiputera, serta hak dan keistimewaan orang Melayu dan umat Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE