Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, siri jelajah itu akan diadakan sebaik sahaja piagam berkenaan ditandatangani kedua-dua pemimpin parti berkenaan dalam waktu terdekat.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, piagam itu sepatutnya sudah dirumuskan pemimpin kedua-dua parti Rabu lalu, namun ditangguhkan seketika disebabkan beberapa perubahan selain memberi masa kepada Pas yang baru selesai muktamar parti.

“Siri jelajah di setiap negeri ini diadakan untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada akar umbi kedua-dua parti berhubung kandungan serta struktur yang terdapat di dalam piagam tersebut.

“Perkara ini perlu diterangkan dengan teliti kepada ahli-ahli UMNO dan Pas supaya tidak timbul sebarang isu atau tanda tanya berhubung bentuk kerjasama sebenar perpaduan ummah yang digerakkan pemimpin kedua-dua parti ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusuff.

Menurut Tajuddin, piagam antara UMNO dan Pas itu juga dirancang dilancarkan serentak dengan perhimpunan besar-besaran umat Islam dan orang Melayu dengan sasaran jutaan orang sebagai simbolik kepada perpaduan ummah.

Sementara itu, dalam ucapannya, Tajuddin mengingatkan orang Melayu dan umat Islam yang mana kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu bukan semata-mata kekalahan UMNO atau BN lyang boleh dipersendakan oleh mana-mana parti politik Melayu.

Sebaliknya, kata beliau, kekalahan itu adalah kelalahan orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya selepas pentadbiran negara kini dikuasai pemimpin DAP meskipun Perdana Menteri merupakan pemimpin Melayu.

“Sebab itu adalah penting untuk parti Melayu dan Islam terbesar iaitu UMNO dan Pas bangkit dan merampas pentadbiran kerajaan Pusat kerana hanya parti politik Islam dan Melayu yang akan mempertahankan kaum dan agama kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE