Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Samsolbari Jamali berkata, bagaimanapun sehingga hari ini, UMNO Johor masih belum menerima surat rasmi daripada Dr. Abdul Latiff untuk keluar parti.

“Kita terbuka dalam hal ni, kita bawa kepada pihak kepimpinan dan putuskan kedudukan tetapi di peringkat awal kita tiada halangan mana-mana pihak untuk kembali bersama-sama parti.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang surat rasmi tapi saya sukacita ingin menyatakan, waktu dia pergi kita tidak halau dan tidak mengutuk...ia untuk kebaikan bersama-sama,” katanya di sini sebentar tadi.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Revolusi Minda Anak Bangsa anjuran UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Timbalannya, Datuk Ramli Bohani dan Pakar Motivasi dan Penganalisis Politik, Datuk Dr. Noor Azizan Abdul Majid.

Ditanya mengenai alasan Dr. Abdul Latiff yang meninggalkan parti demi agama, bangsa dan tanahair, Samsolbari berkata, mahu atau tidak mereka tidak boleh menafikan peranan UMNO.

“Saya tak nampak yang khususnya Johor bantai UMNO tapi ia lebih peribadi tapi mahu tidak mahu mereka tak boleh nafikan peranan UMNO.

“Janganlah nak menipu diri sendiri, kita boleh tipu banyak pihak tapi tak boleh tipu diri sendiri, jangan nak nafikan manfaat UMNO,” katanya. - UTUSAN ONLINE