Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kecenderungan ‘tembak-menembak’ sesama UMNO itu mulai wujud sedikit demi sedikit kebelakangan ini.

“Kita mesti melihat kepada usaha menyatu-padukan UMNO sebagai parti yang kalah pada pilihan raya umum (PRU), jadi ini bukan masanya untuk kita tembak sesama sendiri tetapi bagaimana kita mahu meningkatkan kekuatan parti.

“Kalau kita nak tembak, kita tembak Pakatan Harapan (PH) sebab mereka banyak dosa kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said di samping Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) memberitahu, UMNO tidak menyekat sebaliknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja yang boleh menyumbang kepada parti.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, UMNO kini berada di kedudukan lebih positif dan menyakinkan berdasarkan pengamatannya terhadap proses pemulihan dan pengukuhan yang dijalankan di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, beliau meluahkan rasa kecewanya berikutan tindakan kerajaan PH yang berterusan menjual aset negara dengan terbaharu membabitkan projek tanah di Singapura iaitu Marina 1 dan Duo.

“Kedua-dua projek yang berjaya disiapkan pada awal tahun 2018 ini begitu menguntungkan dengan Marina 1 bernilai RM21.3 bilion manakala Duo pula RM12.2 bilion tetapi malangnya projek itu sudah dijual kepada Singapura,” katanya. – UTUSAN ONLINE