Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, Najib telah menjenamakan semula UMNO dengan meninggalkan sifat ultra-nasionalis dan komunalis.

“Sebagai arkitek politik yang cerdik, penjenamaan semula UMNO oleh Najib bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi benar-benar mengubah nilai, amalan, pemikiran dan budaya UMNO.

“Perlu disedari, UMNO disukai bukan kerana retorik tetapi UMNO disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat,” katanya menerusi blog, sskeruak.blogspot.my, malam tadi.

Tambah Salleh, UMNO sebelum ini dilihat sebagai parti bersifat elitis, komunalis, konservatif, ultra-nasionalis dan autokratik yang dibelenggu amalan kepuakan dan politik wang.

Dalam pada itu, Salleh menjelaskan, ramai penganalisis politik meramalkan UMNO dan Barisan Nasional bakal kehilangan kuasa sepertimana parti LDP di Jepun, Kuomintang (Taiwan), Golkar (Indonesia) dan Kongres di India.

“Tetapi itu UMNO dahulu. UMNO dicipta Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad) mengikut pemikiran dan gaya kepimpinannya. Legasi Mahathir terlalu besar dalam UMNO sehingga terbitnya istilah Mahathirisme yang cukup diingati dengan gaya pemerintahan government knows all yang tidak lagi relevan dengan politik kontemporari.

“Pernah dahulu, selepas pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri, ada golongan menyatakannya sebagai the return of Mahathirisme. Dakwaan tersebut meleset. Bagi Najib, government knows best era is over,” ujarnya. - UTUSANONLINE