Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Saleeh Rahamad berkata, kerajaan perlu tegas dalam hal tersebut kerana sistem pendidikan negara adalah sesuatu yang akan memberi kesan jangka pendek dan panjang serta bukan perkara yang boleh diputuskan dengan tergesa-gesa.

HASAN MAD
HASAN MAD 

“Apabila UEC ini diterima dalam keadaan sekarang, de­ngan sendirinya sistem pendidikan nasional akan dipandang rendah oleh kelompok yang mengguna pakai sijil ini.

“Dari segi politik kita tengok menteri dan timbalan menteri membawa dua agenda yang berbeza. Teo Nie Ching memang jelas agendanya untuk iktiraf UEC manakala Dr. Maszlee pula ha­nya kata beliau tidak tahu akan perkara itu.

“Ini menunjukkan bahawa wujud kekeliruan dalam soal pentadbiran negara. Perlu dipertimbangkan semula dan menteri dan Kabinet seharusnya menentukan keputusan ini, bukan ha­nya sebuah lembaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Bazrul Bahaman berkata, pengiktirafan UEC dikhuatiri akan menjadi faktor perpecahan antara kaum malah boleh menjadi penyebab utama identiti kebangsaan yang semakin pudar.

“Dengan pengiktirafan UEC, orang Cina semakin tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Perpaduan kaum akan bertambah buruk malah orang Cina akan semakin hilang identiti kebangsaan.

SALEEH RAHAMAD
SALEEH RAHAMAD 

“Selain itu, kedudukan bahasa Melayu juga akan semakin terhakis. Melayu sebagai jati diri negara juga akan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, pengiktirafan UEC akan menggalakkan polari­sasi kaum serta menyukarkan proses integrasi nasional yang akhirnya akan menjadi pemisah satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain di negara ini.

“Kesan jangka pendek ialah Dasar Pendidikan Nasional sudah tiada yang peduli, Perlembagaan Persekutuan terus dicabuli tanpa hukuman.

“Kesan jangka panjang pula, integrasi nasional, identiti nasional dan jati diri nasional menerusi agenda pendidikan tidak akan terlaksana,” tegasnya.