Johari Abdul Ghani

Kehadiran suara-suara yang tidak selesa dengan perkemba­ngan semasa UMNO mencetuskan persoalan apakah langkah terbaik perlu dilakukan untuk memastikan parti terbesar orang Melayu itu terus relevan.

Perkembangan terbesar terma­suklah Ahmad Zahid menamatkan ‘cuti’ sebagai Presiden UMNO serta paling terkini keputusan melantik bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) pada Selasa lalu.

Walaupun kebanyakan pemim­pin veteran menyambut baik pelantikan tersebut, Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap ia satu langkah ke belakang manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui tidak gembira mendengar berita itu meskipun kedua-duanya dilihat sebagai ‘orang kuat’ Najib ketika mengetuai kerajaan.

Keadaan itu mencetuskan persoalan adakah Pemilihan UMNO wajar diadakan semula dalam masa terdekat daripada membiarkan parti berpecah, tidak bersatu dan akhirnya wujud tindakan boikot-memboikot sesama sendiri sehingga mengakibatkan UMNO kekal di blok pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun, bagi Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, beliau melihat tiada keperluan Pemilihan UMNO perlu diadakan semula setahun selepas pemilihan diadakan pada hujung Jun 2018.

“UMNO perlu menumpukan sepenuhnya gerak kerja parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Apa guna jawatan dalam parti jika kita kalah pilihan raya. Oleh itu saya tidak bersetuju pemilihan UMNO diadakan semula,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau merupakan bekas Menteri Kewangan II yang se­ring berdepan isu 1Malaysia Development Berhad, sebelum ini digambarkan seolah-olah tidak menyokong kehadiran Najib ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor iaitu PRK pertama sejak UMNO tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Turut berpandangan sama ialah Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang merasakan ahli-ahli UMNO boleh membuat keputusan untuk menerima atau menolak mana-mana pemimpin semasa pemilihan parti pada tahun 2021.

“Walaupun Najib didakwa sebagai punca kekalahan. Namun, kita perlu ambil positif sekiranya mereka ingin membantu. Tahun 2021 nanti, semua Cawangan dan Bahagian berpeluang memilih pemimpin yang dirasakan sesuai,” katanya.

Beliau merasakan ahli UMNO tidak perlu tergesa-gesa sehingga mendesak pemilihan diadakan semula dalam tempoh terdekat kerana percaya PRU-15 hanya akan diadakan selepas tahun 2021.

HABIS