Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kelewatan berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan peruntukan sebanyak RM77 juta telah diluluskan kerajaan Pusat pada 20 Disember lepas.

“Duit sudah ada dan kita pun nak tahu kenapa masih belum boleh agihkan kepada penero­ka...jadi, kita tunggu (Datuk Seri) Mohamed Azmin datang dalam minggu ini untuk jelaskan perkara dan menyelesaikan masalah ini,” katanya pada sidang media sewaktu melancarkan slogan Pakatan Harapan (PH) untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ‘Pembangunan Bersama Harapan’ di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan calon PH, M. Mano­garan.

Kementerian Kewangan pada 20 Disember lepas mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM77 juta bagi membantu peneroka Felda melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa bagi mengatasi masalah aliran tunai Felda yang kritikal.

Peruntukan itu termasuk bagi melunaskan bayaran tertunggak seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia, bayaran tunggakan kepada Felda Technoplant Sdn. Bhd. bagi kerja operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka Felda.

Guan Eng berharap isu ber­kenaan tidak akan menjejaskan peluang PH untuk memenangi hati pengundi di kawasan Su­ngai Koyan yang kebanyakan mereka adalah peneroka. – BERNAMA