‘Orang lama’ dalam arena politik itu mencadangkan PH supaya mengotakan janji manifesto dengan menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak jika hendak memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Mac depan.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM bersama beliau.
 

TANGKAP layar twitter Rais Yatim
TANGKAP layar twitter Rais Yatim 

UTUSAN: Dalam Twitter, Tan Sri ada menyatakan PH perlu hapus tol, turun harga minyak jika mahu menang PRK DUN Semenyih. Apa yang Tan Sri cuba sampaikan?

RAIS: Saya sebenarnya sangat berat menyatakan betapa pen­tingnya manifesto ditunaikan. PH harus memusatkan usaha memulakan gerak kerja. Pentingnya PH selepas sembilan bulan memerintah, melihat kembali keluh kesah rakyat. Biar rakyat berasa selesa, kerajaan susah sedikit tidak apa. Saya sebenarnya tidak mahu suara yang berasas mani­festasi dimendapkan. Saya hen­dakkan ia didengari.

Tol yang mana Tan Sri maksudkan?

Butiran mengenainya tidak ada dulu. Secara amnya, PH ha­rus berfikir mengenai janji manifesto yang perlu ditunai.

Adakah kenyataan itu merupakan satu teguran kepada PH?

Saya faham ramai dalam kala­ngan PH tidak suka saya buat teguran ini. Tetapi saya tidak gemar dengan cara macam itu. Saya ‘orang lama’. Saya suka menterjemahkan apa yang dirasa dan diyakini. Bagi saya, keyakinan ini perlu dihargai dan lima daripada 10 manifesto PH perlu ditunaikan.

Mengenai PRK Cameron Highlands, adakah Tan Sri bersetuju dakwaan BN memainkan sentimen agama dan bangsa untuk menang?

Bila sudah tumbang (PH), banyaklah yang akan memberi alasan. Dalam pilihan raya, ia ibarat peperangan. Taktik perlu dibuat. Saya tidak menafikan, tiket ras, agama ada digunakan. Jika tidak kena gaya, ia akan berlanjutan sehingga ke PRK DUN Semenyih, Mac ini dan BN mungkin boleh menang dan PH boleh kalah. Perpaduan antara UMNO dan Pas juga dilihat amat memberi hasil dividen kepada kemenangan itu. PH tidak seintim UMNO dan Pas.

Apakah yang boleh Tan Sri simpulkan dengan kekalahan PH di Cameron Highlands?

Pertamanya, PH tidak nampak bersekutu seperti yang telah dilaksanakan BN dengan Pas. Pecahan DAP, PKR dan lain-lain tidak terlihat sekutunya seperti mana yang BN buat. Saya melihat sekutu itu kurang jelas.

Keduanya, faktor calon. Amat jelas para pengundi di Cameron Highlands merupakan pengundi tradisional dan bukan ‘urban’. Se­harusnya calon melibatkan komuniti majoriti di kawasan berkenaan, sebaliknya calon yang diketengahkan PH pula adalah pilihan elitis.

Ketiganya, PH tidak cukup perkara yang hendak dihebahkan. Bahan-bahan tidak mencukupi dan banyak janji manifesto tidak tertunai. Tolak harga barang, harga minyak dan lain-lain, terlampau banyak kesalahan kerajaan terdahulu cuba dibangkitkan.

Keempat, kesilapan PH adalah keburukan kerajaan terdahulu selalu diungkapkan. Ia menjadi ‘overkill’ (berlebihan) dan terlampau meranapkan situasi. Berbanding jika saat ini, ada perubahan dilakukan terhadap isu tol, kedudukan harga minyak, saya kira PH boleh atasi pihak lawan. Kita (PH) tidak ada banyak hal untuk dijual. Kalau setakat ‘rules of law,’ ia tidak terlalu dekat dengan jiwa rakyat.

Kelima, perpaduan Orang Asli utuh. Mereka mahu melihat anak bangsa mereka sendiri menerajui kelompok mereka. Orang Melayu juga tidak mempunyai masalah dengan calon Orang Asli kerana tidak ada perbalahan identiti.

Keenam, masyarakat India pula berpecah. MIC tidak bagi soko­ngan kepada BN. Hasil campur tangan politik Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas turut memberi kesan kepada kekalahan PH.