Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, Dr. Mahathir perlu sedar bahawa dia adalah individu yang memecah-belahkan parti politik ditunjangi orang Melayu sejak dahulu lagi.

Justeru, katanya, UMNO tidak akan sesekali menyahut seruan pengkhianat bangsa itu yang sangat sesuai dianggap sebagai Bapa Pemecah Belah Melayu.

“Hakikatnya, beliau yang menjadi pemecah belah parti Melayu sejak dahulu lagi dan pada zaman dia juga kita tengok Melayu berpecah.

“Tiga Timbalan Perdana Menteri, tiga Timbalan Presiden UMNO ‘terpelanting’, lahir Semangat 46, UMNO diharamkan, PKR dilahirkan...itu semua berlaku sewaktu zaman beliau. Begitu juga dengan hari ini, beliau ilhamkan Bersatu untuk jadi pemecah undi Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu yang mempelawa parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya di sini semalam. - UTUSAN ONLINE