Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, sebagai Pengerusi Bersatu, sebuah parti yang kecil dan serpihan kepada UMNO, sewajarnya Dr. Mahathir membawa parti yang dipimpin menyertai UMNO.

“Hubungan baik UMNO dan Pas tentunya menjadi satu cabaran kepada Tun Mahathir sehingga beliau mengajak parti-parti Melayu menyertai Bersatu.

“Sedangkan, Bersatu adalah parti yang kecil berbanding dengan UMNO,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Rumah Citra Sri Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan, Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Ariff dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, Hasrunizah Hassan.

Noraini berkata, pelbagai isu berkaitan orang Melayu termasuk perpaduan bukan perkara baharu diberi perhatian oleh UMNO, malah, parti itu sudah memperjuangkan perkara tersebut sejak sekian lama.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menggesa ahli parti untuk meneruskan perjuangan sekali gus tidak terperangkap dengan kenyataan dibuat Dr. Mahathir. - UTUSAN ONLINE.