Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu juga mengambil kira kepentingan parti dan perjuangan UMNO adalah melebihi kehendak dan kedudukan mana-mana individu.

“Selaku Naib Presiden, saya menyeru seluruh perwakilan serta seluruh jentera parti agar tidak lagi me­ngulangi ketetapan ini sehinggalah kita berhadapan dengan pilihan raya.

“Kerana kita tidak ada pilihan, perang mesti menang!,” katanya ketika menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Dalam perhimpunan berkenaan, Hishammuddin mendapat tepukan gemuruh para perwakilan yang turut berdiri bagi memberi penghormatan kepada jiwa besar Naib Presiden UMNO itu.

Semalam, perhimpunan meluluskan usul yang mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan mengesahkan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas timbalan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan hadapan.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk me­nyumbangkan peranan dalam sebarang kemungkinan berkaitan isu Baitulmuqaddis.

“Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel merupakan tamparan hebat kepada seluruh dunia Islam.

“Marilah kita berdoa dan terus berdoa agar konflik ini tidak membawa ke ambang kemusnahan. Ingatlah, mereka meran­cang, Allah jua merancang. Se­sungguhnya Allah sebaik-baik perancang,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammud­din turut menyelar pakatan pembangkang yang diketuai DAP kerana seringkali menafikan jasa dan pengorbanan perajurit negara termasuk ketika bantuan awal disalurkan semasa kejadian banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Memang sikap pembangkang sering mempersenda dan bersandiwara, hingga hal keselamatan pun tidak terlepas daripada mainan dan jenaka mereka, malah insiden Lahad Datu dikata sandiwara, walau anggota kita terkorban nyawa,” katanya.

Ujarnya, seluruh jentera parti perlu bergerak meraih sokongan rakyat dan menghancurkan pembangkang dalam PRU-14 bagi menjamin masa hadapan negara.

“Bangun dan bangkitlah tuan-tuan dan puan-puan UMNO! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Ku­kuh­kan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan,” katanya.