Pada masa sama, beliau menyifatkan penolakan oleh beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap pelaksanaan tulisan jawi di negara ini memperlihatkan diri serta pemikiran mereka masih dipengaruhi penjajah.

Abdul Hadi berkata, umat Islam perlu menyedari bahawa tulisan jawi merupakan pengaruh Islam dalam menyebarkan ilmu sehingga membolehkan sesuatu bangsa atau kaum itu mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.

Beliau turut merujuk kepada pencapaian beberapa buah negara maju seperti Jepun, Korea dan China yang kesemuanya bangkit dengan usaha memartabatkan tulisan mereka sendiri.

"(Generasi baharu kita) bukan lagi tak kenal (tulisan jawi) tapi mundur. Mengapa kita ikut tulisan barat sangat, apa pencapaian kita selepas berpuluh tahun kita merdeka. (Apakah) kita dah capai macam England, USA (Amerika Syarikat) dan Jerman, tidak.

"Tapi Jepun bangkit (maju) dengan tulisan dia sendiri, begitu juga Korea dan China yang bangkit dengan tulisan sendiri. Kita yang pertahankan tulisan (barat) itu buat apa. Mengapa kita tak pakai tulisan kita sendiri, jati diri kita sendiri. Apa salahnya kita balik pada kita sendiri,"

katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannnya sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas polemik isu tulisan jawi dan seni khat berikutan bantahan daripada Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) terhadap keputusan kerajaan melaksanakan tulisan itu dalam subjek bahasa Melayu di sekolah-sekolah.

Presiden Pas itu seterusnya menjelaskan, pelbagai bangsa di serata dunia berpegang kepada tulisannya sendiri termasuk orang India, Iran, Turki, Afrika, Tagalog dan sebagainya.

"Bukan saja orang Melayu dengan tulisan jawinya malah orang India dengan tulisan urdhu dengan huruf Arab, orang Iran dengan tulisan Parsi, orang Turki dengan tulisan huruf Arab yang masih diamalkan di Asia Tengah hingga ke hari ini. Orang Afrika dengan bangsa Sawahili juga guna tulisan jawi.

"Orang-orang di rantau ini (Asia) seperti Jawa dan Tagalog dengan huruf Arab, bahkan huruf Arab lebih sempurna daripada huruf latin. (Huruf Arab) lebih lengkap dan istilahnya lebih betul sebenarnya," jelasnya. - UTUSAN ONLINE