Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Mazlan Bujang berkata, peluang itu bagi membolehkan Dr. Mahathir yang mempunyai track record cemerlang memberi tumpuan terhadap misi memulihkan negara dan kembali membawa ke landasan lebih baik.

“Tun (Dr. Mahathir) meminta sekurang-kurangnya tiga tahun lagi untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada orang lain. Saya rasa beliau perlu diberi ruang yang lebih supaya dapat memberi fokus membaiki sistem yang hampir rosak untuk dipulihkan dan membawa negara kembali ke landasan yang terbaik.

“Kalau kita kerap sangat bertukar Perdana Menteri, itu menunjukkan bahawa iklim politik kita yang kurang stabil. Jadi, saya harap Tun dapat diberi ruang kepada semua pemimpin terutama dalam PH untuk menerajui sehingga habis penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Search and Destroy anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Garbage Ranger bersama-sama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di sini hari ini.

Mazlan memberitahu, hanya segelintir sahaja yang menggesa Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.


MAZLAN Bujang (kiri) melihat replika nyamuk aedes semasa membuat lawatan ke gerai pameran dalam Program Kempen Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal Garbage Ranger, Recycle, Reuse Search and Destroy Zon Pelangi Indah di Dewan Raya Taman Puteri Wangsa, Johor Bahu hari ini.
Gambar: Baazlan Ibrahim.

“Ini terpulang pada (pandangan) masing-masing yang mengharapkan supaya pemimpin yang mereka hajati untuk duduk di kerusi tersebut.

“Walau bagaimanapun, sebagai pemimpin, kita tidak boleh nak pentingkan diri kita sebenarnya. Kepentingan rakyat dan negara adalah jauh lebih penting daripada kepentingan politik peribadi,” katanya. - UTUSAN ONLINE