Justeru wakil Puteri UMNO, Noor Aeiza Hassan berkata, kerajaan-kerajaan negeri perlu mencontohi Negeri Sembilan yang pertama mengeluarkan arahan tersebut baru-baru ini.

“Kita jangan bagi muka kepada mereka kalau mereka pijak agama kita, ini tidak ada kompromi. Pu­teri UMNO tidak akan berkompromi jika agama Islam ditindas terutama mengenai pemakaian tudung,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian kaunter yang diarahkan menanggalkan tudung.

Berikutan itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia, Samual Cheah Swee Hee memberi alasan rangkaian hotel antarabangsa menggunakan prosedur operasi standard bagi pemakaian uniform di rangkaian hotel mereka di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Noor Aeiza turut mengetengahkan isu lambakan tenaga pekerja yang dilihat serius dengan statistik Jabatan Sumber Manusia menunjukkan terdapat 6.7 juta pekerja asing di negara ini dan jumlah itu tidak terhad kepada pekerjaan sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar semata-mata.

Katanya, terdapat juga pihak majikan terutama dalam bidang perhotelan dan makanan yang menggajikan pekerja asing di barisan depan sehingga menenggelamkan ‘wajah negara’ selain memaksa pelanggan bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Inilah masanya kerajaan mengupayakan pelajar-pelajar dari ins­titut kemahiran berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membuat pemadanan pekerjaan. Ini supaya pekerjaan yang banyak diisi oleh pekerja asing diisi oleh anak-anak muda yang berkemahiran,” katanya.

Katanya, Puteri UMNO juga mengesyorkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme baharu dalam pengawalan subsidi agar dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat dan tidak tiris ke tangan warga asing.

“Sudah tiba masanya kerajaan melihat semula subsidi barang kawalan. Pembelian barang kawalan bersubsidi oleh warga asing perlu dihentikan. Cukup-cukuplah kerajaan tanggung subsidi untuk mereka,” katanya.